Dairi Ramadhan 2011 : Tarikh hari raya tidak sama kerana perbezaan matlak: JAKIM

PUTRJAYA: Perbezaan penentuan tarikh hari raya di antara negara Islam berlaku kerana wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal atau anak bulan. 


Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Othman Mustapha, berkata perkara itu juga bergantung kepada pihak berkuasa agama di negara terbabit sama ada menggunakan kaedah rukyah (cerapan) atau hisab sahaja, atau kedua-duanya.
"Brunei misalnya menentukan awal Syawal berpandukan rukyah semata-mata, katanya dalam satu kenyataan," di sini hari ini. Sehubungan itu, beliau berkata tidak timbul isu Sabah dan Sarawak tidak akan menyambut Syawal bersama dengan negeri di Semenanjung. 

"Penetapan bermulanya Syawal juga tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia," katanya. 

Othman yang juga pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam berkata, di negara ini penentuan Syawal adalah melalui cawangan Falak dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukya (kebolehnampakan). 

Katanya, dua stesen rujukan yang digunakan ialah di Tanjung Atiam, Sabah serta Tanjung Chincin di Langkawi dan pemilihan kedua-dua stesen itu berdasarkan kesesuaian kedudukan geografi. 
"Tanjung Chincin berada pada rujukan paling barat sementara Tanjung Atiam berada pada rujukan paling timur merangkumi seluruh Malaysia," katanya. 

Sehubungan itu, JAKIM meminta rakyat di negara ini yang beragama Islam agar mematuhi keputusan pengumuman Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia bagi rujukan dalam menentukan awal Syawal. - BERNAMA 


Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments